Nuffnang

Thursday, January 1, 2026

SELF-CENTERED


Pernah tak bila kita cerita kita dapat bonus, reaksi pertama yang kita terima bukan “alhamdulillah”, tapi

“boleh la belanja AKU”

atau

“bagi la AKU sikit”.


Atau bila kita kata kita nak pergi bercuti, jawapan yang datang bukan doa yang baik-baik, tapi

“untunglah kau, AKU jangan harap”

atau

“kenapa tak ajak AKU sekali”.


Atau bila kita cakap kita nak beli telefon baru, terus keluar ayat

“belilah untuk AKU sekali”

atau

“yang lama tu bagi AKU”.


Ayat-ayat ni mungkin kedengaran macam gurauan. Tapi bila ia berulang, kita mula sedar satu perkara:

orang tu bukan betul-betul gembira dengan kebahagiaan orang lain.


Segala cerita tentang rezeki, usaha, dan kegembiraan kita akan sentiasa ditarik balik kepada satu pusat iaitu DIRI DIA SENDIRI. Sebab itulah setiap jawapannya ada AKU.


Apa yang aku perasan, orang yang self-centered ni bukanlah orang yang jahat. Mereka cuma terlalu biasa melihat dunia dari sudut “AKU”.

Apa yang aku dapat?

Apa yang aku rugi?

Kenapa orang lain lebih?


Dalam kepala mereka, rezeki orang lain bukan sesuatu untuk diraikan, tapi sesuatu untuk dibandingkan.


Jarang sangat kita dengar ayat semudah:

“Alhamdulillah, rezeki KAU.”

“Baguslah KAU dapat peluang tu.”

“Aku doakan yang terbaik untuk KAU.”


Padahal ayat-ayat itulah yang membuatkan persahabatan terasa ringan dan ikhlas.


Kawan yang baik bukanlah yang tumpang menikmati hasil kita, tapi yang tumpang gembira dengan kejayaan kita.

Bukan yang melihat keberuntungan kita sebagai peluang, tetapi sebagai bukti bahawa rezeki Tuhan itu luas.

Tak semua yang ketawa bersama kita, benar-benar bahagia melihat keberuntungan kita.


Dan itu satu pelajaran yang mahal, dan juga perlu.


Ciajuolah…

2 Januari 2026 (2:43 pm)

Bangi, selangor


Wednesday, December 31, 2025

SELAMAT TAHUN BARU 2026

Tahun 2026 hadir tanpa sebarang janji. Seperti biasa, masa terus berlalu, makin banyak aku belajar selok belok kehidupan.

Di tahun 2026 ini, aku berazam untuk menjadi insan yang lebih berguna dan lebih efisien bukan sekadar sibuk, tetapi benar-benar memberi makna pada apa yang dilakukan. Aku mahu hidup dengan lebih sedar, lebih teratur, dan lebih bertanggungjawab pada diri sendiri.

Aku berharap 2026 membawa pengalaman-pengalaman baru. Bukan semestinya yang mudah, tetapi yang mampu membentuk aku menjadi insan yang lebih kuat, lebih tenang, dan lebih matang dalam menghadapi realiti hidup. Kerana aku semakin sedar, hidup yang bermakna bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang bagaimana kita bangkit, belajar, dan terus melangkah walaupun dalam keadaan yang tidak ideal.

Semoga tahun ini aku mampu menjadi versi diri yang lebih baik, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang-orang di sekeliling aku.

Selamat datang 2026.
Semoga langkah kali ini lebih jelas, dan hati lebih bersedia.

Ciajuolah...

1 Januari 2026 (12:14 am)
Kajang, Selangor.

Monday, December 22, 2025

HUTANG LAGI

 

Sebagai manusia biasa, aku sendiri pernah berhutang. Dan pasal hutang ni bukan pertama kali aku tulis dalam blog ni. Dulu aku pernah tulis tentang adab berhutang, tapi tulisan tu lebih bersifat umum. Kali ni aku tulis sekadar nak meluahkan rasa.

Kenapa aku terasa nak tulis pasal hutang?
Sebab yang berhutang dengan aku bukan seorang dua. Dalam belasan orang, mungkin lebih 20. Jumlahnya pula dah melebihi RM20 ribu, dan pernah juga mencecah RM30 ribu. Tapi yang bayar hutang tu, boleh kira dengan jari. Selebihnya buat-buat tak kenal, elak bila terserempak.

Aku bukan orang kaya. Aku insan biasa juga. Aku tahu perasaan berhutang, rasa risau bila hutang belum langsai. Sebab tu aku cuba bayar secepat mungkin, dan ada masa aku lebihkan bayaran sebagai tanda terima kasih.

Tapi kebanyakan yang berhutang dengan aku tak begitu. Tenang je hati diorang. Bercuti, bermewah, malah ada yang pergi umrah. Seolah-olah hutang tu tak pernah wujud. 

Dengan hati yang kecewa, aku berazam mulai tahun 2026 dan seterusnya aku tak akan bagi hutang lagi pada sesiapa. Yang pernah berhutang tapi tak pernah ingat aku bila dah senang, jangan cari aku lagi bila perlukan duit.

Lebih baik aku tak bagi pinjam duit.
Sebab bila aku pinjamkan duit, selalunya bukan duit saja yang hilang —
kawan pun hilang.

Ciajuolah...

23 Disember 2025 (12:03 am)
Kajang, Selangor.

Wednesday, December 10, 2025

LAPAN BULAN BERLALU

 

Dah lebih kurang 8 bulan sejak aku mula aktif menulis balik… dan nampaknya blog ni masih sunyi sepi macam rumah tinggal 😅. Dari statistik ada juga beberapa orang yang singgah baca posting lama—terima kasih banyak, aku hargai walaupun aku tak tahu siapa kalian.

Walau apa pun, aku akan terus menulis. Sebab tujuan asal aku hidupkan semula blog ini bukan untuk kejar pembaca pun, tapi untuk luahkan segala benda yang bersarang dalam kepala. Menulis ni terapi murah yang sangat membantu.

Tapi kalau ada yang membaca entri ini, sudilah kiranya tinggalkan nama di bahagian registration tu ya. At least aku tahu blog ni bukan aku sorang je yang baca, dan mungkin boleh bagi aku semangat extra nak terus menulis di sini 😁

Ciajuolah...

11 Disember 2025 (9:39 am)

Kajang, Selangor.


Friday, December 5, 2025

HIDUP INI IBARAT PERJUDIAN

Kadang-kadang bila kita duduk seorang diri, termenung jauh sambil dengar bunyi kipas pusing, terlintas satu persoalan ringkas tapi berat: “Kenapa hidup ni macam tak boleh dijangka?”


Sebenarnya… sebab hidup ini memang ibarat satu perjudian.


Kita merancang, tetapi apa yang terjadi tak semestinya ikut skrip yang kita tulis. Ada masa kita dah buat sehabis baik, ikut semua “manual hidup” yang orang tua-tua ajar, tapi tetap juga diuji dengan dugaan yang datang dari seribu arah. Dan yang paling pelik, ada masa kita tak buat salah pun  tapi tetap terkena tempiasnya.


Dalam hidup, kita sentiasa berada dalam dilema. Setiap keputusan kecil atau besar rasa seperti kita sedang letakkan taruhan. Contohnya:


Perkahwinan — Kita memilih seseorang yang kita percaya boleh membahagiakan kita. Kita fikir dialah yang paling tepat. Tapi kadang-kadang, walaupun kita dah pilih dengan hati-hati, perkahwinan tetap tidak menjadi.


Pilihan keluarga — Aneh tapi benar, ada pasangan yang dipilihkan oleh keluarga, dan kita sendiri pun tak pasti “OK ke tak ni?”. Tapi peliknya, ada yang kekal bahagia sampai ke hujung hayat.


Belajar atau berhenti? — Ada orang ambil keputusan sambung belajar tinggi-tinggi. Ada pula yang berhenti separuh jalan untuk mulakan perniagaan. Dua-dua meletakkan masa depan sebagai pertaruhan. Hasilnya? Kita takkan tahu sehinggalah masa berlalu.


Kalau hidup ini ada “preview”, mesti ramai yang sanggup bayar mahal. Tapi sayangnya tidak. Kita hanya boleh buat yang terbaik dan bertawakal pada hasilnya.


Ada orang kata hidup ini bukan tentang betapa tepatnya kita pilih, tetapi bagaimana kita bertahan dan belajar. Dan itu ada betulnya. Kadang-kadang pilihan yang salah pun boleh membawa kita ke jalan yang akhirnya lebih baik.


Sebab itu hidup ini terasa seperti perjudian, bukan kerana kita suka ambil risiko, tetapi kerana masa depan sentiasa kabur. Kita hanya boleh memilih berdasarkan apa yang kita tahu hari ini.


Yang penting, apa pun terjadi, Jangan berhenti melangkah, Jangan patah balik pada kegagalan lama, dan jangan terlalu keras menyalahkan diri terhadap keputusan yang tidak menjadi.


Hidup ini tentang perjalanan, bukan kesempurnaan. Selagi kita bergerak ke hadapan, kita masih dalam permainan.


Itulah serba sedikit pandangan aku tentang kehidupan. Hidup ini sementara saja. Sementara menunggu waktu untuk bergerak balik, aku tuliskan apa yang berada dalam kepala aku.


5 Disember 2025 (5:22 pm)

Bukit Rotan, Selangor.

Tuesday, November 11, 2025

NARSISTIK

Pernah tak jumpa orang yang rasa dia sentiasa betul, suka menunjuk, dan bila orang lain dapat perhatian, dia mula panas hati? Ha… itu mungkin tanda-tanda narsistik. Tapi sebelum kita cepat buat kesimpulan, jom kita faham dulu apa maksud sebenar “narsistik”.

Perkataan ni asalnya daripada mitos Greek — Narcissus, seorang lelaki yang terlalu obses dengan diri sendiri sampai jatuh cinta dengan bayangan dia dalam air. Akhirnya dia mati sebab tak boleh berpisah dengan “diri dia sendiri” tu. 😅 Dari situlah datangnya istilah “narcissism”.

Dalam dunia moden, narsistik ni bukan sekadar suka tengok cermin atau ambil selfie banyak-banyak (walaupun tu boleh jadi satu tanda kecil juga). Ia lebih kepada sifat peribadi — orang yang terlalu pentingkan diri, suka dikagumi, tapi kurang empati terhadap orang lain.

Contohnya,Kau ada kawan yang bila kau cerita masalah, dia cepat-cepat sambung dengan cerita dia yang “lebih hebat”?

Contoh:

Kau: “Aku stress la, kerja banyak minggu ni.”
Dia: “Aku lagi teruk kot, aku kerja sampai pukul 2 pagi tiap malam!”

Atau jenis yang suka post gambar dengan caption “just being humble” tapi dalam gambar tengah posing depan kereta baru 🤭. Itu pun boleh jadi ciri-ciri ringan narsistik — suka perhatian, tapi cuba nampak macam rendah diri.

Tapi jangan salah faham, Semua orang ada sedikit sifat narsistik. Normal sebenarnya. Kadang kita pun perlukan keyakinan diri, nak rasa dihargai. Yang jadi masalah bila sifat tu melampau sampai ganggu hubungan dan realiti — contohnya, tak boleh terima kritikan, manipulasi orang lain untuk kepentingan diri, atau rasa orang lain “tak setaraf”.

Dalam dunia media sosial sekarang, susah nak beza antara keyakinan diri dengan narsistik. Tapi paling penting — kalau kita selalu rasa perlu perhatian orang untuk rasa “bernilai”, mungkin masa dah sampai untuk tengok semula apa yang kita kejar sebenarnya.


Ciajuolah...

Pak Kret, Thailand.
(12 November 2025, 10:33 am)

Friday, October 24, 2025

CINTA DATANG DAN PERGI

 

Perasaan CINTA adalah perasaan yang semulajadi.

Dia datang dan pergi dengan sendirinya.

Bila dia dah datang, jagalah dengan sebaiknya.

Bila dia pergi dia takkan kembali semula walau dipaksa. 

Kerana dia datang bukanlah kerana dijemput.

Dia pergi bukanlah kerana diusir.

Dia semulajadi.


Ciajuolah…


Kajang, Selangor 

(Sabtu 25 Oktober 2025 9:56am)